Kuala Terengganu: Bekas pengurus inkubator Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan bernilai RM17,000.
Mohd Saiful Nizam, 40, yang bertugas di Besut membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Dia dituduh menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga paling rendah syarikat milik sekutunya bagi mendapatkan kerja-kerja penambahbaikan sistem pemotongan untuk tujuan mempelbagaikan produk hasilan kilang jejari, berjumlah RM17,000 pada Mac 2015.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Athikah Aziz manakala, tertuduh diwakili peguam, Mohd Asaari Salleh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan syarat tambahan bahawa dia perlu menyerahkan pasport dan melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap 1 hari bulan.
Kes itu akan disebut semula pada 26 Julai depan.
Pada 25 Mei lalu, Mohd Saiful turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan tidak menyerahkan wang pembayaran sewa kiosk bagi Januari hingga September 2019 berserta deposit kepada Bahagian Kewangan Mardi Kuala Terengganu bernilai RM14,250.
Sumber: My Metro