Kuala Terengganu: Pengalaman dikuarantin selama 14 hari ketika menjalani rawatan Covid-19, memberi inspirasi kepada seorang bekas pesakit untuk turut sama membantu mereka yang dijangkiti wabak itu.
Badrol Hisham Zaki, 52, yang pernah dikuarantin tahun lalu dan disahkan sihat sepenuhnya, kini aktif menyantuni pesakit Covid-19 dengan memberi pelbagai sumbangan barang keperluan, serta berkongsi pengalaman.
Katanya, masih ada stigma negatif dan pandangan serong terhadap pesakit Covid-19 oleh sesetengah pihak, walaupun banyak kempen kesedaran dilakukan oleh pihak kerajaan.
“Sebab itu setiap kali berhadapan dengan individu yang mempunyai persepsi negatif, saya akan memberitahu fakta sebenar, agar mereka lebih memahami dan memberi sokongan, bukannya kejian kepada pesakit dan keluarga mereka.
“Saya tidak mahu pengalaman buruk yang menimpa saya sekeluarga ketika disahkan positif Covid-19 pada 25 Sept tahun lepas, dialami orang lain. Ketika itu perniagaan bakeri isteri turut terjejas. Semoga sedikit usaha ini dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama, kelmarin.
Badrol Hisham yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Terengganu berkata, baru-baru ini pihaknya menyampaikan sumbangan berupa barang makanan dan cecair pembasmi kuman, kepada lebih 200 individu di sebuah institusi pengajian pondok yang dikuarantin.
Kesemua barangan tersebut adalah hasil sumbangan yang dikumpul menerusi beberapa rakan-rakan rapatnya dan ‘The International Committee of the Red Cross’ (ICRC) Jepun.
“Hati saya tersentuh kerana dimaklumkan ramai pelajar berusia belasan tahun perlu menjalani tempoh kuarantin, perasaan dan emosi mereka pasti terganggu apabila tidak lagi boleh melakukan aktiviti rutin harian seperti biasa.
“Sumbangan yang disampaikan sekurang-kurangnya dapat menceriakan mereka, malah ia adalah sebagai tanda keprihatinan serta kasih sayang masyarakat kepada warga institusi tersebut, yang sedang dalam kesusahan,” katanya.
Walaupun terbabit dengan PBSM Terengganu sejak 10 tahun lalu, Badrol Hisham mengakui semangatnya ketika melakukan program sukarelawan berkaitan Covid-19 lebih ‘membara,’ terutama dalam menyangkal tanggapan negatif masyarakat terhadap bekas pesakit itu.
Sumber: My Metro