Belajar Ilmu Agama Sahih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Golongan sesat masih wujud disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu dari sumber yang tidak benar, sifat ego, ingin dipuja dan disanjung dan banyak lagi.

Ajaran sesat bermaksud ajaran yang bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran, sunah, ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau pandangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah (ASWJ) dari sudut akidah, syariat dan akhlak yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran tersebut berlandaskan Islam.

Kategori dan ruang lingkup ajaran sesat merangkumi tiga aspek iaitu kepercayaan atau akidah, pengamalan atau syariat dan akhlak atau pengabdian antara hamba bersama Tuhannya.

Terdapat beberapa kesan negatif ajaran sesat yang timbul dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Pertama mencemari kesucian ajaran Islam. Dakwaan bahawa semua agama adalah sama atau penyatuan semua agama termasuk Islam ke dalam satu agama baharu adalah suatu kesesatan.

Islam adalah agama yang telah lengkap dengan pengutusan nabi dan rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, dakwaan wujud kitab lain selain al-Quran, nabi baharu sama ada nabi yang bersifat universal atau setempat seperti Rasul Melayu adalah ajaran menyeleweng dan sesat.

Kedua adalah mendewa dan mengagungkan pemimpin secara salah. Sebagai contohnya, perbuatan keterlaluan dengan menganggap pemimpin adalah suci seperti bersifat maksum (tidak berdosa) dan jelmaan Tuhan.

Islam membenarkan perbuatan menghormati, menyantuni, berkhidmat serta mentaati guru atau pemimpin dalam batas yang dibenarkan syarak. Namun, ia akan menjadi satu kesalahan apabila seseorang itu taat kepada guru melebihi ketaatannya kepada Allah SWT. 

Ketiga adalah terpengaruh dengan idea dan kepercayaan campur tangan terhadap perkara ghaib. Sebagai contohnya, menyeru nama orang yang telah meninggal dunia atau roh tertentu dengan jampi oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam.

Sedangkan, perkara ghaib adalah perkara yang hanya diketahui oleh Allah sahaja dan manusia terpilih yang diizinkan Allah SWT untuk mengetahuinya.

Masyarakat Islam disarankan supaya belajar meningkat ilmu pengetahuan agama yang sahih dan berpegang dengan akidah ASWJ yang betul, selamat dan jelas bersandarkan sumber al-Quran, sunah, ijmak dan qias.

Akhirnya, pihak berautoriti agama perlu memainkan peranan penting dalam pemeliharaan agama selaras maqasid syariah terutama ketika masyarakat Islam mudah terpengaruh dengan aliran fahaman yang menyeleweng melalui pelbagai medium baharu yang tular dalam kecanggihan teknologi masa kini.

Sumber: HARIAN METRO