Pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu bersifat serampang dua mata untuk sektor pendidikan iaitu inisiatif memulihkan dan dalam masa yang sama memampankan sektor pendidikan negara.
Ini dapat dilihat dengan peruntukan tertinggi yang juga meningkat berbanding tahun sebelumnya bagi Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion sebelumnya.
Berdasarkan peruntukan tersebut, sebanyak RM2.3 bilion disediakan di bawah usaha untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat iaitu dengan membina infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik, termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas selaras teras keenam KPM.
Dengan infrastruktur dan ruang pembelajaran yang kondusif dan lengkap, keberhasilan kejayaan pelajar mampu dicapai dengan kemudahan akses terhadap sistem pembelajaran yang disediakan tanpa keciciran pelajar.
Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat
- UNIT BERITA MANIS FM