Belanjawan 2024: Jabatan Penjara Perkasa Banduan Dengan Kemahiran TVET

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia bertekad untuk memperkasakan banduan dengan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang perindustrian, perladangan dan pertanian menerusi peruntukan RM10 juta yang diterima jabatan itu dalam Belanjawan 2024.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan dan inisiatif itu merupakan pengiktirafan kepada usaha berterusan jabatan itu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada pesalah yang telah menyelesaikan tempoh hukuman mereka, dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pihak industri.

“Jabatan Penjara berharap dapat meningkatkan kadar produktiviti banduan dengan lebih efektif. Majikan dan industri boleh membantu dengan membuka peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada para banduan dan bekas banduan.

“Kerjasama antara Jabatan Penjara, majikan dan industri bertujuan untuk membantu bekas banduan mengatasi rintangan sosial dan mengembalikan mereka ke masyarakat sebagai individu yang lebih positif dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu turut memaklumkan sedang berusaha untuk memenuhi keperluan sebanyak 6,000 peluang pekerjaan dalam sebulan dan bagi merealisasikan hasrat itu, Yayasan Koreksional Penjara akan digerakkan untuk memberi bantuan yang bersesuaian dalam memulihkan banduan secara holistik.

“Impak kepada kejayaan program ini, proses integrasi dan penempatan semula ke dalam masyarakat dapat ditingkatkan, kadar residivis (pengulang laku jenayah) dikurangkan serta membantu mereka meningkatkan pendapatan isi rumah,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara memaklumkan program itu juga merupakan langkah proaktif dalam membantu banduan dan bekas banduan menjadi anggota produktif dalam masyarakat, selain memberikan mereka peluang pekerjaan dan sokongan yang diperlukan untuk berjaya, sekali gus membantu kumpulan itu membina kehidupan yang lebih baik.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi program PEKA (Peluang Kedua Anda) TVET dikelolakan Jabatan Penjara, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat lepas.

— BERNAMA