KOTA BHARU: Meskipun membelasah Kelantan FC 5-0, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad belum puas dengan keputusan itu.
Katanya, skuad Tok Gajah banyak bermandi peluh sebelum menewaskan The Red Warriors (TRW) yang hadir tanpa tonggak import.
“Babak pertama kurang baik, TRW banyak membuat serangan, kita juga terpaksa buat tiga penukaran.
“Pemain (Kelantan FC), ada keyakinan tapi tak jaringkan gol, kalau gol mungkin permainan akan berubah,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Fandi berkata, kemenangan itu terlalu awal untuk dirai kerana pasukan masih belum lengkap terutamanya membabitkan ketiadaan pemain utama yang cedera.
Antaranya Nor Azam Asih, Kevin Ingreso dan Lucas Silva yang mengambil masa untuk sembuh.
“Kita belum dapat pemain yang kita inginkan, kita masih mencari, kita kekurangan pemain terlalu banyak kecederaan.
“Bahagian yang paling kita nak di bahagian tengah dan serangan, saya juga akan terlibat dalam pemilihan pemain baru menjelang jendela perpindahan Julai ini,” katanya yang turut berminat dengan aksi pemain Kelantan, Mohd Fazrul Amir.
Sementara itu, pengendali Kelantan, Frank Bernhardt meninggalkan pasukan dengan nota kekalahan selepas gagal mencipta sebarang kemenangan sejak mengambil alih pasukan daripada Choi Moonsik.
Pengendali dari Jerman itu berkata, dia menyerahkan nasibnya kepada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sama ada kembali ke kerusi pengarah teknikal atau sebaliknya.
Sumber: BERITA HARIAN