Beli Lembu Hampir Satu Tan Berharga RM18,000 Untuk Dikorbankan Jumaat Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Seekor lembu charolais seberat 950 kilogram (kg) berharga RM18,000 akan dikorbankan pada Aidiladha ke dua, Jumaat ini.

Lembu berusia dua tahun lapan bulan itu dibeli oleh peniaga ketupat sejuk beku, Amirah Abdul Manaf,32, dari Kampung Banggol Binjai, Manir.

Amirah berkata, dia membeli lembu baka itu daripada seorang penternak di Kampung Bukit Parit, Marang seminggu selepas Aidilfitri lalu.

“Sejak 2020 saya memilih lembu baka untuk dijadikan haiwan korban kerana ia lebih banyak daging seterusnya boleh diagihkan kepada ramai penduduk.

“Tahun lepas saya korban lembu charolais seberat 800 kg dan ia dibeli dengan harga RM17,000.

“Ramai penduduk yang menerima daging lembu baka itu berpuas hati dan memuji keenakkan daging kembu itu kerana ia lebih sedap berbanding lembu biasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Amirah juga berkata, dia membeli lembu itu menggunakan wang keuntungan daripada perniagaan ketupat sejuk beku dan rempah segera.

“Memang saya berniat untuk korban lembu baka pada setiap tahun sekiranya perniagaan yang dijalankan maju dan mendapat sambutan.

“Hanya itu peluang saya untuk berkongsi rezeki dengan orang ramai yang memerlukan melalui agihan daging yang berkualiti dengan kuantiti yang lebih berbanding biasa,” katanya.

Menurutnya, dia membeli lembu baka itu untuk korban peribadi tetapi ahli keluarganya termasuk adik beradiknya ingin menyertai.

“Oleh itu, saya buka bahagian korban kepada adik beradik yang berminat tetapi mereka tidak perlu bayar harga asal iaitu RM2,571 sebahagian tetapi hanya RM500 sebahagian,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Abdul Manaf Putih, 58, turut tumpang gembira apabila anak keduanya itu memanfaatkan wang daripada keuntungan perniagaan untuk menjalani ibadah korban.

“Selain dapat agih daging yang berkualiti kepada ramai penduduk yang memerlukan mereka juga dapat menikmati daging lembu baka yang sukar dibeli di mana-mana,” katanya.

– BERITA HARIAN