Belum terima laporan lengkap penemuan objek seakan emas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Kerajaan negeri belum menerima laporan lengkap mengenai penemuan objek seakan-akan emas di Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang dekat sini yang tular sejak Selasa lalu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dalam laporan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan, memang tersenarai beberapa lokasi yang dikenalpasti terdapat mineral emas dalam bumi.

Katanya, kemungkinan lokasi di Kampung Bukit Lata itu juga terdapat mineral emas namun memerlukan kajian khusus untuk mengetahui kesahihan serta kuantitinya.

“Dalam maklumat kita memang ada beberapa kawasan yang ada emas cuma kuantiti kita tidak tahu terutama kawasan Kampung Sokor, Tanah Merah serta Jeli dan sebab itu kita keluarkan lesen untuk mendulang.

“Setakat ini kita belum menerima laporan lagi daripada pihak berkaitan mengenai penemuan emas di Rantau Panjang itu kerana perlu buat kajian khusus sebelum buat keputusan sama ada berbaloi atau tidak untuk dilombong,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan restoran D’Terapung 7 di Pantai Sri Tujuh di sini.

Dalam perkembangan berkaitan kemunculan arak jenama Timah, beliau yang juga Naib Presiden PAS menasihatkan orang ramai terutama bukan Islam agar mengambil kira sentimen agama lain.

Beliau berkata, meskipun timah yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang lain, tapi istilah sebegitu digambarkan sebagai nama seorang wanita muslim dan jelas menimbulkan kekeliruan.

“Asasnya kita tahu timah itu adalah bijih timah dan bukan nama orang tapi ia boleh menimbulkan kekeliruan.

“Saya berpandangan, ia sebenarnya bukan isu besar kerana syarikat berkaitan sudah tampil menjelaskan keadaan sebenar cuma kalau boleh jangan lagi ada yang menggunakan isu ini seterusnya menyentuh sensitiviti.

“Sebahagian orang bukan Islam ada yang tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam sehinggakan menimbulkan masalah sedangkan kita berada dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Sumber: My Metro