Sesetengah kalangan kita sudah pasti pernah mendengar perkongsian dan luahan yang menyebut senang rupanya menjaga anak perempuan tak banyak masalah pun.
Menjaga dan mendidik anak perempuan tak sama seperti didikan terhadap anak-anak lelaki. Walaupun kita sedar bahawa setiap dari mereka pasti mempunyai cabarannya tersendiri, namun, pasti kerisauan itu dilebihkan sedikit terhadap anak perempuan.
Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membiarkan mereka tidur merata tempat kerana adat dan adab juga perlu dititiberatkan agar mereka tidak terdedah dengan budaya baru. Mereka juga perlu diajar tentang kasih sayang dan harga diri agar maruah mereka akan terbela sepanjang hayat.
Semuanya perlu diajar dengan baik. Bahkan, ibu bapa tidak boleh malu atau segan untuk menurunkan ilmu kepada mereka, bimbang jika mereka akan mendapatkannya di tempat yang salah.
Disebabkan itu, kesabaran buat pasangan yang dikurniakan anak perempuan akan diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda.
Sebagaimana dalam beberapa dalil yang telah disebut oleh Baginda SAW, iaitu:
1. Menjadi Benteng Kepada Orang Tua Di Neraka
Pada suatu hari, ada seorang wanita yang telah datang menemui Saidatina ‘Aisyah bersama dengan dua orang anak perempuannya.
Namun, pada waktu itu, ‘Aisyah tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan. Jadi, ‘Aisyah telah memberikan kurma kepada wanita tersebut.
Wanita itu kemudian membahagikan kurma itu kepada dua bahagian dan memberikannya kepada anak-anaknya, namun dirinya tidak mengambilnya. Lalu, wanita itu berlalu pergi.
Kemudian, Baginda SAW datang dan ‘Aisyah telah menceritakan kejadian tersebut kepada Rasulullah. Lalu, Baginda bersabda:
Maksud: “Siapa yang diuji dengan kehadiran anak perempuan, maka anak itu akan menjadi benteng baginya di neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad, No. 24055)
Dalam riwayat lain, Baginda menyebut:
Maksud: “Sesiapa yang memiliki 3 anak perempuan kemudian dia bersabar dengannya, memberi makan, minum dan pakaian hasil dari usahanya, maka semuanya akan menjadi benteng dari panas neraka pada hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 7/460)
2. Mempunyai Kedudukan Yang Dekat Dengan Rasulullah
Maksud: “Sesiapa yang menanggung nafkah dua anak perempuan sehingga baligh, maka pada hari kiamat, antara saya dan dia seperti ini (Baginda menggabungkan kedua jarinya; jari telunjuk dan jari tengah).” (Hadis Riwayat Muslim, No. 2631)
Dalam riwayat lain juga, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menafkahi dua atau tiga anak perempuan atau saudara perempuan sehingga mereka menikah atau sampai dia mati, maka aku dan dia seperti dua jari ini. Baginda berisyarat dengan dua jari, iaitu jari telunjuk dan jari tengah.” (Hadis Riwayat Ahmad, No. 12498)
Kesimpulannya, setiap cahaya mata yang ada, pastinya mempunyai cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi. Namun, jika seseorang itu bersabar dan menjaga mereka bagai menatang minyak yang penuh, maka tuhan akan mengganjarkan mereka dengan kebaikan yang baik di dunia mahupun di akhirat.
Sumber: TZKRH.COM