Benarkah vaksinasi punca kitaran haid tidak normal? Fahami penjelasan pakar mengenainya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PENGAMBILAN vaksin diketahui mampu memberi kesan sampingan terhadap tubuh badan kita seperti demam, muntah-muntah, pening kepala, sakit badan dan banyak lagi.

Kesan sampingan ini adalah normal kerana badan kita sedang membina perlindungan dan kebiasaannya ia akan hilang selepas beberapa hari.

Sebuah laporan terkini yang diterbitkan dalam British Medical Journal baru-baru ini menyatakan bahawa terdapat kemungkinan hubungan antara perubahan kitaran haid dan vaksin Covid-19.

Pakar reproduktif dari Imperial College London, Dr Victoria Male, yang menulis laporan itu berkata, masalah perubahan kitaran haid yang berlaku adalah akibat tindak balas imun badan, dan bukannya bahan yang terdapat dalam vaksin.

“Perubahan kitaran haid dilaporkan setelah dos kedua vaksin jenis mRNA dan adenovirus menunjukkan, jika ada kaitan kemungkinan ia akibat tindak balas imun terhadap vaksinasi dan bukan komponen tertentu di dalam vaksin,” katanya.

Dr Male berkata, lebih daripada 30,000 wanita yang diberi vaksin melaporkan mereka mengalami masalah haid, termasuk pendarahan yang lebih banyak serta perubahan pada kitaran haid mereka.



Saintis berkata tiada bukti yang mengatakan bahawa vaksinasi Covid-19 boleh memberi kesan buruk terhadap kesuburan.

Laporan tersebut dibuat kepada Agensi Pengawalseliaan Ubat-ubatan dan Produk Kesihatan (MHRA) United Kingdom, iaitu sebuah badan pengawasan kesan sampingan vaksin.

Beliau bagaimanapun berkata, perubahan yang berlaku ini hanyalah bersifat sementara dan tidak berbahaya.

Menurutnya, kebanyakan wanita yang menghadapi masalah itu melaporkan haid mereka kembali normal pada kitaran berikutnya, serta tidak ada bukti bahawa vaksinasi Covid-19 boleh memberi kesan buruk terhadap kesuburan.

“Satu pengajaran yang kita dapat adalah kesan perubatan terhadap haid tidak boleh dilupakan dalam penyelidikan di masa hadapan,” katanya.

Jelasnya, sekiranya hubungan antara vaksinasi dan perubahan kitaran haid dapat disahkan, ini membolehkan wanita yang akan mengambil vaksin supaya merancang kitaran haid mereka.

“Keraguan terhadap vaksin dalam kalangan wanita muda sebahagian besarnya didorong oleh berita palsu bahawa vaksin Covid-19 dapat memberi kesan terhadap kesuburan mereka pada masa hadapan.

“Kegagalan menyelidik perkara ini secara menyeluruh akan menyebabkan orang ramai lebih takut untuk mengambil vaksin,” tambahnya.

Selain laporan tersebut, penyelidik Amerika Syarikat, Kate Clancy dan Katherine Lee sebelum ini telah mengumpul lebih dari 140,000 laporan oleh wanita yang mengalami perubahan terhadap haid mereka selepas vaksinasi.

Sumber: Mstar