LISBON, Portugal – Benfica secara rasminya menjadi raja jendela perpindahan abad ini apabila mencatat untung tertinggi sejak tahun 2000.
Dalam tempoh sedekad lalu, kelab Portugal itu menjual pemain-pemainnya untuk nilai melebihi 1 bilion pound (RM5.86 bilion).
Walaupun berbelanja sekitar 756 juta pound sejak tahun 2000, mereka masih mencatat keuntungan tertinggi selepas mengumpul 1.4 bilion pound (RM8.20 bilion) daripada hasil jualan.
Keuntungan keseluruhan dicatat Benfica adalah 617 juta pound (RM3.61 bilion), 42 juta pound (RM245.98 juta) mengatasi Porto yang menduduki tangga kedua.
Hanya Benfica, Porto dan Ajax meraih lebih 1 bilion pound (RM5.86 bilion) dalam penjualan pemain sepanjang abad ini.
Masing-masing mencatat keuntungan bersih melebihi 500 juta pound (RM2.93 bilion), dengan Sporting Lisbon dan Lille di tempat keempat dan kelima.
RB Salzburg di tangga keenam diikuti Udinese, yang menjual 970 pemainnya di abad baharu untuk keuntungan sejumlah 316 juta pound (RM1.85 bilion).
Salzburg melonjak dalam senarai berkenaan dalam tempoh empat tahun hasil penjualan pemain-pemain berprofil tinggi seperti Dominik Szobozslai, Patson Daka, Brendan Aaronson dan Karim Adeyemi.
Benfica pula mendapat untung besar selepas melepaskan Joao Felix ke Atletico Madrid pada tahun 2019 dengan harga 113 juta pound (RM661.8 juta).
River Plate, Dynamo Zagreb dan Lyon melengkapkan senarai 10 teratas, manakala Luton Town menjadi satu-satunya kelab Liga Perdana Inggeris yang mencatat keuntungan dalam tempoh 23 tahun lalu, dengan keuntungan sebanyak 3.4 juta pound (RM19.91 juta).
– BERITA HARIAN