SHAH ALAM: Kebakaran sebuah bengkel mengakibatkan tiga kereta musnah di Jalan Matahari AA, Seksyen U5 di sini, awal pagi tadi.
Kemusnahan itu melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena, Mercedes dan Volkswagen.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 5.34 pagi.
Katanya, sepasukan 23 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dan Sungai Buloh Klang dikerah dalam operasi berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati api marak memusnahkan bangunan kedai tiga tingkat kelas A itu. Kebakaran melibatkan bengkel kereta di tingkat bawah dan dianggarkan 50 peratus terbakar,” katanya.
Tambah Norazam, kebakaran berjaya dikawal pihaknya pukul 6.09 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Tiga kereta terbakar. Kejadian itu tidak melibatkan mangsa di lokasi tersebut. Punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Sumber: UTUSAN