Benteng Alpa ‘Musuh’ TFC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kealpaan benteng pertahanan pada minit-minit akhir memusnahkan impian Terengganu FC (TFC) melakar kemenangan sekali gus terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri kali ketiga berturut-turut pada kempen Liga Super musim ini.

TFC yang kini menghuni tangga keenam dengan 26 mata, tujuh mata di belakang pasukan tangga kelima Sabah FC, sepatutnya mampu mencipta kemenangan pada aksi menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Namun jaringan pemain import NSFC, Herold Goulon seminit sebelum tamat meranapkan impian mereka merakam kemenangan selepas kali terakhir menang 1-0 ke atas Kedah Darul Aman pada 3 Julai lalu.

Tidak hairan ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner meluahkan rasa kecewa terhadap pemainnya yang gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri.

Lebih mengecewakannya apabila beberapa peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik ketika lawan lebih banyak bertahan sejak babak pertama lagi.

“Pada babak pertama bukan sahaja insiden penalti diberikan kepada pasukan lawan, namun pemain kurang mencipta peluang untuk memburu jaringan, hanya dua tiga peluang sahaja diperoleh.

“Manakala babak kedua pula saya lihat pemain beraksi lebih baik untuk memburu jaringan sehingga berjaya menjaringkan gol menerusi Ivan Mamut, selepas itu lebih banyak peluang dicipta pemain termasuk sekali lagi menerusi Mamut yang hanya berdepan dengan penjaga gol, namun gagal disudahkan dengan jaringan.

“Kurang fokus pada minit terakhir perlawanan jelas memberi kesan buat kami hingga lawan menjaringkan gol penyamaan sekali gus impian untuk mengutip tiga mata tidak kesampaian,” kata Steinbruckner.

– BERITA HARIAN