Benzema Pakar Kebangkitan Real Madrid

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MADRID – Karim Benzema melengkapkan satu lagi kebangkitan menakjubkan Real Madrid ketika mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Sevilla 3-2.

Selepas bangkit menyingkirkan Chelsea pada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah Selasa lalu, Madrid mengejutkan Sevilla dengan kemenangan yang meletakkan mereka semakin hampir kepada gelaran La Liga.

Jaringan babak kedua Rodrygo, Nacho Fernandez dan Benzema memberikan Madrid kemenangan yang meletakkan mereka kini 15 mata di depan pesaing terdekat dengan enam perlawanan berbaki.

Sepakan percuma Ivan Rakitic dan tindakan penyudah menarik Erik Lamela meletakkan Sevilla dua gol di depan dalam aksi di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.

“Sukar untuk difahami mengapa kami bermain sebegitu di babak pertama. Kami kelihatan penat. Di babak kedua, rentak semakin pantas,” kata pengendali Madrid Carlo Ancelotti.

Jaringan Benzema memastikan Chelsea tersingkir pada Selasa selepas Rodrygo mengheret permainan ke masa tambahan di Santiago Bernabeu.

Benzema kini mengumpul 44 gol dalam 46 penampilan musim ini dan 15 gol dalam 10 perlawanan terakhirnya.

Sumber: BERITA HARIAN