Benzema Tagih ‘Magis Bernabeu’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER – Karim Benzema nyata yakin selepas meledak dua gol yang menghidupkan peluang Real Madrid pada aksi empat pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City dan penyerang Perancis itu meramalkan pasukannya boleh layak ke final.

Real ketinggalan dua gol sebanyak tiga kali pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Etihad tetapi bangkit untuk hanya tewas 4-3 pada aksi menarik itu.

“Saya memberi amaran pada penyokong kami untuk bersedia melihat sesuatu yang magis, kami akan menang perlawanan kedua di Santiago Bernabeu,” kata Benzema kepada Movistar Plus.

“Kalah bukanlah sesuatu yang bagus dan kami amat pentingkan kemenangan dalam Liga Juara-Juara musim ini. Perkara ini tidak pernah melemahkan semangat kami dan akan terus bertarung hingga penamat.”

Benzema menjaringkan gol pada babak pertama dan menunjukkan ketenangan apabila skuad dari Sepanyol itu diberikan penalti pada penghujung aksi.

Penyerang itu yang gagal menyempurnakan dua penalti ketika menentang Osasuna minggu lalu tampak mudah melakukannya.

“Saya pemain yang sangat yakin,” kata Benzema.

“Ini adalah tahap tertinggi dan kami menentang pasukan yang hebat dan di stadium mereka. Kami ketinggalan 2-0 tetapi mental kami kuat untuk bangkit.”

Jurulatih Real, Carlo Ancelotti tidak pernah meragui bahawa kaptennya itu akan menjaringkan gol tetapi kecewa dengan kesilapan dilakukan pemainnya.

“Kami perlu bertahan dengan lebih baik,” kata Ancelotti.

“Ia bukanlah keputusan yang bagus kerana mereka menjaringkan empat gol berdepan kami, ini langsung tidak bagus. Ia bermakna kami tidak bertahan dengan baik dan kami perlu lebih baik pada aksi kedua. Saya percaya ia adalah kuncinya.”

Pengendali dari Itali itu juga merasakan bahawa kelebihan di laman sendiri terbukti amat penting dalam perlawanan kedua nanti.

“Kami sangat yakin dan teruja kerana kami percaya magis di Bernabeu,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN