Berebut Kekasih Punca Dua Pelajar Bergaduh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Pergaduhan dua pelajar di Kampung Bukit Kecik, Melor di sini, 7 September lalu dipercayai berpunca daripada berebut kekasih.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis sedang melakukan siasatan dan sudah mengambil keterangan lima pelajar berusia antara 14 hingga 15 tahun untuk melengkapkan siasatan.

Jelas beliau, siasatan awal dipercayai disebabkan cinta dan cemburu.

“Polis sudah mengenal pasti dua remaja berusia 14 tahun dan 15 tahun yang bertumbuk dalam video tular beberapa hari lalu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut Muhamad Zaki, siasatan awal mendapati mereka berjanji berjumpa di satu lokasi untuk beradu kekuatan dan rakan-rakan yang mengetahuinya datang ke situ untuk menjadi penonton.

Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan menerima laporan mengenai dua remaja lelaki bertumbuk di Kampung Bukit Kecik, Melor dan tular di media sosial.

Dalam pada itu Muhamad Zaki berkata, polis sentiasa berusaha menangani kegiatan tidak bermoral terutama membabitkan pelajar.

– SINAR HARIAN