KUALA LUMPUR – Percaturan menggandingkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuahkan hasil selepas mereka muncul juara beregu campuran Cabaran Antarabangsa Bangladesh di Dhaka, hari ini.
Tang Jie-Ee Wei yang digabung padan oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky, dinobat juara selepas menewaskan pasangan Thailand, Phatharathorn Nipornam-Alisa Sapniti 21-15 21-13 di Stadium Tertutup Shahid Tajuddin Ahmed.
Tang Jie sebelum ini bergandingan dengan Peck Yen Wei manakala Ee Wei dengan Hoo Pang Ron.
Gelaran Cabaran Antarabangsa Bangladesh adalah kejuaraan antarabangsa pertama mereka.
Tang Jie-Ee Wei adalah satu-satunya wakil Malaysia yang mara ke final selepas rakan sepasukan terdiri daripada beregu campuran Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing; beregu lelaki, Leong Jun Kai-Jimmy Wong dan Tan Kok Xian-Tan Yi Han selain beregu wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing terkandas di separuh akhir.
Ini adalah satu permulaan yang baik untuk mereka yang menghadapi cabaran layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pasangan itu akan menyertai Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, dari 13 hingga 18 Disember ini.
– BERNAMA