Bergambar kenangan sahaja, bukan digari polis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Paparan yang tular di media sosial mendakwa dua beradik Orang Asli ditahan ketika mempertahankan tanah mereka daripada pencerobohan syarikat pembalakan adalah tidak benar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, paparan dimuat naik pemilik akaun Facebook, semalam menyatakan tangan dua beradik itu digari selepas ditahan di Kampung Rumlak, Kuala Betis, Gua Musang.

Katanya, pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang turut mengadakan perjumpaan dengan wakil penduduk Orang Asli itu berhubung halangan di kawasan pembalakan terbabit.

“Perjumpaan itu bagi mengenal pasti punca permasalahan dan memberi nasihat mengenai aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

“Bagaimanapun, dua individu terbabit meminta untuk bergambar dengan kenderaan polis sebagai kenangan untuk simpanan peribadi mereka ketika anggota polis membuat rondaan di situ.

“Tetapi, gambar terbabit disalahgunakan oleh pihak tidak tertentu sehingga ia tular dan mendapat pelbagai reaksi masyarakat di media sosial,” katanya dalam kenyataan media.

Shafien berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan penafian tangkapan terhadap dua lelaki Orang Asli seperti yang disebarkan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Semakan terbaru pada Facebook milik individu terbabit mendapati, paparan sudah dipadam kira-kira lima jam lalu, dengan tajuk ‘Atas permintaan ahli keluarga untuk padam posting ini saya akur dan memohon maaf. Kata mereka kejadian ini tidak benar. Harap maklum kepada semua pembaca.’

Sumber: MY Metro