Bergson Sudah Jadi Rakyat Malaysia?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

STATUS naturalisasi import berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva menjadi teka teki dalam kalangan peminat bola sepak negara.

Ia selepas pemain kelahiran Brazil itu menambah bendera Malaysia di ruangan Instagram miliknya bersama bendera Brazil sekali gus menimbulkan pertanyaan mengenai status semasa pemain itu sama ada sudah menjadi warganegara Malaysia.

Sebelum ini, berita mengenai naturalisasi pemain tersebut bukan satu rahsia apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berpendapat Bergson boleh dinaturalisasikan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Menurut Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT, Bergson bersama seorang lagi pemain import yang kini beraksi bersama Sri Pahang iaitu Manuel Hidalgo boleh dinaturalisasikan untuk perancangan jangka pendek skuad kebangsaan.

Bergson yang berusia 34 tahun sudah bersama JDT sejak 2021 dan mungkin sudah memenuhi syarat untuk membolehkannya mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Bergson juga tanpa berselindung turut menyatakan minatnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan membantu pasukan terutama dalam mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula bulan depan.

“Anda menjumpai cara terbaik untuk saya, untuk negara dan Harimau Malaya. Saya sentiasa di sini dan saya rasa seperti berada di rumah (negara) sendiri.

“Namun, sudah tentu bos (Tunku Mahkota Ismail) akan membuat keputusan terbaik untuk kita dan saya sayangkan negara ini,” katanya baru-baru ini.

Sumber : SINAR HARIAN