Berhenti Menjadi ‘Badut’ Polemikkan Isu 3R – Sultan Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan pemimpin agar berhenti menjadi ‘badut’ mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R).

Baginda juga menyambut baik kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini yang menekankan bahawa pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai, bukan pencetus perbalahan.

ADVERTISING

“Biarkan ‘pentas’ ini terus tenang, tanpa ‘drama’ yang menyakitkan. ‘Berdialoglah’ guna akal dan hati, bukannya ‘bermonolog’ guna nista dan benci,” titah baginda seperti dilaporkan Pahang Media.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Durian Hijau, Masjid Rahman Ibn Auf, Jerantut pada Selasa.

Keberangkatan Baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut laporan Pahang Media itu, Al-Sultan Abdullah turut bertitah, sejarah telah membuktikan pertelingkahan kaum dan agama jika tidak dibendung dengan bijaksana mampu membawa malapetaka.

“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan kebijaksanaan.

“Saya menyeru kepada semua pemimpin, khususnya pemimpin-pemimpin politik, agar bertindak sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat, bukannya mencetus api yang membakar hubungan harmoni yang telah lama terbina,” titahnya lagi.

Sementara itu, Baginda menzahirkan dukacita atas suara-suara sumbang yang meremehkan kesucian agama dan mencabar kemuliaan Islam seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.

“Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di negeri ini, saya menyeru setiap Muslim memainkan peranan mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Bottom of Form

Janganlah kita berdiam diri apabila agama kita dihina,” titah Baginda sambil

mengingatkan semua rakyat bahawa keharmonian yang dikecapi kini hasil daripada sikap saling menghormati dan toleransi.

“Jangan kita cepat melatah dan membuat spekulasi. Hormatilah antara satu sama lain, jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan.

“Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” titah Al-Sultan Abdullah.

Sumber : SINAR HARIAN