Beri ruang kepada kerajaan nilai kebenaran rentas negeri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon rakyat memberikan sedikit ruang kepada kerajaan untuk membuat penilaian sebelum membenarkan semula pergerakan rentas negeri.

Beliau berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan perkara itu secara berperingkat termasuk mewujudkan laluan khas membabitkan perjalanan udara.

“Saya percaya, sedikit masa lagi apabila sudah ramai antara kita mengambil vaksin, kerajaan sedia untuk membenarkan pergerakan rentas negeri secara berperingkat, malah mewujudkan ‘special green lane’ bagi perjalanan sempadan yang membabitkan pengangkutan udara.

“Berikan sedikit masa dan ruang untuk pihak kerajaan meneliti segala risiko sebelum sesuatu keputusan diambil,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga prihatin dalam mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19 dengan menyediakan pelbagai peruntukan dan inisiatif.

“Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan bantuan tunai secara one-off RM600 kepada pengusaha homestay (inap desa) yang berdaftar dengan Motac.

“Bantuan ini dijangka dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga memperuntukan RM135 juta menerusi lanjutan tempoh diskaun khas bil elektrik kepada pemain industri berkenaan.

“Untuk membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pengembaraan dan pelancongan, pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan selama tiga lagi sehingga 30 Jun ini.

“Dengan pemanjangan tempoh diskaun ini, kerajaan menanggung kos sebanyak RM135 juta,” katanya.

Sumber: My Metro