PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meminta semua pihak termasuk persatuan pengguna dan pengusaha untuk menyertakan maklumat yang tepat dan lengkap setiap kali membuat laporan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang membabitkan kepenggunaan termasuk isu kekurangan telur.
Ketua Penguat Kuasa, Azman Adam, berkata ketika ini juga kementerian itu hanya mengawal selia tiga gred telur saja iaitu gred A, B dan C.
“Sekarang ini sekiranya ada aduan minta tolong kemukakan maklumat dengan tepat. Kami hanya mengawal tiga jenis gred telur saja. Jika peniaga menjual gred telur berkenaan, kami akan laksanakan siasatan jika berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya kepada BH.
Beliau diminta mengulas mengenai aduan sebuah persatuan peniaga makanan semalam yang mengesyaki wujud sabotaj dalam isu telur ayam negara berikutan bahan makanan itu tidak terputus bekalan sepanjang lima bulan lalu, namun pengguna terpaksa membayar pada harga yang lebih tinggi.
Azman berkata, berhubung aduan persatuan berkenaan yang mendakwa diancam oleh pengedar dan pemborong untuk tidak menghantar bekalan selepas laporan mereka kepada KPDN sebelum ini diketahui pihak terbabit, beliau masih belum sempat meneliti perkara berkenaan.
Beliau berkata, biarpun tidak mengawal selia telur gred D seperti yang didakwa dalam laporan berkenaan, KPDN masih boleh menyiasat jika berlaku isu pencatutan harga barangan berkenaan.
Namun, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang membuat aduan untuk menyalurkan maklumat lengkap kepada kementerian berkenaan sekiranya mendapati berlaku kegiatan menyorok bekalan telur.
Semalam, sebuah persatuan peniaga makanan yang menaungi lebih 2,000 peniaga di Johor memaklumkan ia mengesyaki berlaku sabotaj berhubung isu ketiadaan bekalan telur ayam dalam negara.
Laporan yang memetik jurucakap persatuan itu yang tidak dinamakan berkata ahli persatuan dianggarkan menggunakan kira-kira 15,000 biji telur ayan sehari namun bekalan sejak lima bulan lalu terpaksa dibeli dengan harga lebih mahal berbanding sebelum ini iaitu antara RM28 hingga RM20 sepapan berbanding RM11 hingga RM13.
Sumber: BERITA HARIAN