Berkarya dengan kek

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Minat mendalam terhadap seni lukisan sejak kecil mendorong seorang wanita menggunakan kreativitinya dengan menjadikan kek sebagai ‘kanvas’ lukisannya.

Aftisa Ahmad Fahmy, 49, berkata bakat melukis itu diwarisi oleh arwah bapanya, Ahmad Fahmy Hamid yang secara tidak langsung membantunya menjana pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sejak Ogos tahun lalu sehingga kini, dia sudah menyertai tiga kelas membuat kek untuk menambah kemahiran sebelum tercetus idea untuk menghasilkan lukisan pada kek marble.

“Saya perlu mengolah resepi kek marble yang dihasilkan untuk disesuaikannya dengan lukisan pada kek.

“Melukis di atas adunan tepung kek dengan menggunakan pewarna agak mencabar dan tidak sama berbanding menggunakan warna air kerana perlu fokus tinggi bagi menghasilkan potret, bunga, pemandangan, abstrak dan wajah haiwan kesayangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belukar, Panji, di sini, hari ini.

KEK marble dengan corak seni lukisan potret, bunga, pemandangan, abstrak dan wajah haiwan kesayangan yang dihasilkan oleh Aftisa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KEK marble dengan corak seni lukisan potret, bunga, pemandangan, abstrak dan wajah haiwan kesayangan yang dihasilkan oleh Aftisa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Ibu kepada seorang anak ini berkata, ketika di awal penghasilan lukisan pada kek, beberapa kali tidak menjadi selain kek pula sedikit keras.

“Bagaimanapun, saya tidak berputus asa dan mencuba sehingga berjaya menghasilkan kek lukisan dan sebulan mendapat tempahan lebih 30 biji yang dijual antara RM35 hingga RM60 bergantung kepada jenis lukisan.

“Saya bersyukur tempahan yang diterima semakin meningkat dari hari ke hari yang membuatkan saya berasa bertambah seronok untuk bekerja sambil ‘berkarya’,” katanya.

Katanya, kebiasaannya dia mengambil masa antara 10 minit hingga sejam menyiapkan lukisan ringkas sebagai dekorasi atas kek bergantung kepada kerumitan lukisannya.

“Saya amat mementingkan ketelitian dan tidak akan tergesa-gesa dalam menghasilkan kek bagi memastikan hasil diperoleh adalah terbaik dan menarik,” katanya yang turut mendapat sokongan suaminya Roslan Ishak, 60.

Katanya, pada masa sama, dia juga mengadakan kelas melukis kes secara dalam talian selepas mendapat permintaan tinggi daripada pembuat kek.

Sumber: My Metro