Berkat 3.0 bantu rakyat Terengganu yang terjejas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri melancarkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (Berkat 3.0) dengan peruntukan RM6.4 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat penutupan beberapa sektor sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang bermula semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini memutuskan melancarkan program secara bersasar berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diagihkan secara dua fasa.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dengan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA +).

“Program ini amat dinantikan rakyat Malaysia termasuk rakyat Terengganu untuk mengurangkan beban golongan yang terjejas akibat penutupan beberapa sektor semasa ‘total lockdown’ yang bermula 1 Jun lalu.

“Kerajaan negeri juga bersetuju memberi penangguhan atas sewaan premis perniagaan milik kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk Jun dan Julai ini.

“Ia tertakluk kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi kadar sewaan RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi.

“Peminjam Yayasan Terengganu yang berpendapatan di bawah RM2,500 juga diberi pilihan untuk memohon moratorium selama tiga bulan,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Samsuri berkata, gaji Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri akan dipotong selama sebulan dan dimasukkan ke dalam Tabung Covid-19 Terengganu selain penjawat awam juga menyumbang melalui potongan elaun mereka.

Katanya, setiap usaha kerajaan negeri sebagai nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat yang terkesan ketika ini.

“Saya juga menyeru semua rakyat Terengganu bersatu hati dalam tempoh yang kritikal ini kerana setiap langkah dan pematuhan arahan dan SOP (prosedur operasi standard) amat signifikan untuk mengatasi pandemik Covid-19 yang semakin serius, selain mendaftar vaksin,” katanya.

Sumber: My Metro