KUALA TERENGGANU- Senyuman jelas terukir di wajah rakyat Terengganu yang terjejas COVID-19 selepas kerajaan negeri menyalurkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) bernilai RM19 juta.
Mohd Armin Seman, 51, yang berkhidmat sebagai malim gunung berkata, rata-rata penerima berpendapat bahawa pemberian insentif tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Saya sendiri terpaksa menukar kerja selepas sektor pelancongan tidak dibenar beroperasi. Sekarang melakukan kerja kampung untuk menyara keluarga kerana kewangan saya dan keluarga terjejas.
“Alhamdulillah, insentif daripada kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga berdepan permasalahan ini,” ujarnya yang sudah berkecimpung dalam pekerjaan malim gunung sejak empat tahun lalu.
Bagi pemandu bot laju, Mohd Sabri Idris, 49, memberitahu bahawa langkah memperkenalkan BERKAT tersebut menunjukkan bahawa kerajaan negeri amat memahami keperluan rakyat dalam tempoh sukar ini.
“Pertama sekali, saya mewakili rakan-rakan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberikan bantuan ini kepada kami. Insya-Allah kami gunakan bantuan ini untuk membiayai keperluan keluarga memandangkan pendapatan berkurangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang peniaga Kedai Urutan Tradisional (SPA) dari Kampung Surau Haji Daud, Marang, Norhayati Mohammed, 39, pula berkata, bantuan itu sangat bermakna kerana sepanjang pelaksanaan PKP peniagaannya mengalami kemerosotan teruk.
“Saya sangat bersyukur, dengan bantuan ‘one-off’ yang diberikan ini dapatlah saya membeli barangan alatan yang diperlukan lagi dalam kerja SPA ini,” katanya.
Manakala bagi, Syarifah Mohd Nor, 47, yang mewakili suaminya terharu dengan sumbangan itu berikutan suaminya yang tidak dapat bekerja akibat pelaksanaan PKP 2.0.
“Terima kasih JPKK Tok Jembal, Kuala Nerus kerana memberi sumbangan ini dan terima kasih kerajaan, semoga dengan bantuan ini ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kami,” katanya.
Pada 4 Februari lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan tujuh insentif khas bagi membantu rakyat negeri ini yang terjejas akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari lalu.
“Rakyat yang memerlukan tetapi tidak termasuk dalam golongan seperti disebutkan boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing untuk memohon bantuan,” tambahnya.
Sumber: TRDI News