Bersedia terima pelancong

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Nerus: Kebenaran pembukaan aktiviti pelancongan bagi negeri dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) nyata melegakan pemain industri dalam sektor terbabit termasuk pengusaha inap desa.

Beberapa pengusaha inap desa yang ditemui melahirkan rasa teruja dan tidak sabar menanti kedatangan pelancong dan pelbagai persediaan sudah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tinjauan NSTP di beberapa inap desa di sekitar Kuala Nerus mendapati persiapan menyambut kedatangan sudah dilakukan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran sektor pelancongan di negeri yang berada pada Fasa Dua PPN.

Penyelaras Inap Desa Teluk Ketapang Azmi Abd Aziz berkata, mereka bersedia menerima kehadiran pengunjung selepas beberapa bulan tidak beroperasi.

“Walaupun pembukaan sektor pelancongan terhad kepada pengunjung di dalam negeri dan mereka yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan Covid-19, ia tetap melegakan kami.

“Kedatangan pelancong tempatan juga dapat membantu menyuntik kembali ekonomi pemain industri yang terkesan kerana pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, semua pihak sama ada pemain industri dan pelancong diingatkan supaya tidak memandang remeh isu pematuhan SOP dan mengambil kesempatan dengan kelonggaran diberikan kerajaan.

“Pandemik Covid-19 masih berleluasa dan kita perlu bersama-sama mematuhi SOP yang ada untuk memutuskan rantaian jangkitan ini supaya kita dapat kembali seperti dahulu,” katanya.

KEADAAN inap desa di Teluk Ketapang, Kuala Nerus yang bersedia menerima kedatangan pengunjung. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
KEADAAN inap desa di Teluk Ketapang, Kuala Nerus yang bersedia menerima kedatangan pengunjung. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Seorang lagi pengusaha inap desa, Norizan Mohd Razali tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang kerana masih ramai yang belum lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Memang gembira dapat kebenaran beroperasi tetapi rasa bimbang tetap ada apabila mengenangkan masih ramai yang belum menerima suntikan sama ada suntikan pertama atau lengkap kedua-dua suntikan.

“Jadi saya harap semua pihak untuk berdaftar dan menerima suntikan supaya kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa memandangkan kes Covid-19 masih tinggi selain pertambahan pelbagai varian.

“Dalam menangani virus ini, kita tidak boleh harap pada kerajaan dan semua ada tanggungjawab masing-masing untuk memerangi virus ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro