Bersyukur Terima Tajaan Sambung Pengajian Ke Jepun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – “Saya bersyukur kerana terpilih antara penerima biasiswa dan berjanji akan membuat yang terbaik untuk membalas jasa pihak yang memberi sokongan termasuk kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu,” kata Wan Nur Fazliyatul Adawiyyah Wan Muhamed Fakry, 19.

Wan Nur Fazliyatul Adawiyyah yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 adalah antara penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) Yayasan Terengganu.

Turut menerima biasiswa sama ialah Muhammad Syarif Salzali, 19, dan Wan Muhammad Amirul Sofian W Ruhazlan, 19.

Menurut Wan Nur Fazliyatul Adawiyyah, biasiswa itu sangat membantunya untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di Jepun.

“Dengan bantuan ini, saya boleh fokus pada pengajian tanpa memikirkan kos dan dapat meringankan beban keluarga selain boleh dijadikan sebagai pembakar semangat kepada tiga adik saya.”

“Memang menjadi impian saya untuk belajar di luar negara dan Alhamdullilah, cubaan saya mendapatkan biasiswa daripada Yayasan Terengganu membuahkan hasil, ” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meraikan mereka dalam Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan dan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa SPC Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022 di Wisma Darul Iman.

Ahmad Samsuri berkata, sebanyak RM1.78 juta diperuntukkan kepada tiga anak Terengganu bagi tempoh pengajian antara tiga hingga empat tahun di Jepun.

Katanya, ia adalah penghantaran kali kedua anak Terengganu ke Jepun di bawah SPC dan mereka adalah pelajar cemerlang SPM 2020.

“Mereka sudah mengikuti Program Persediaan Jepun di Kolej INTEC Shah Alam dan dijadualkan berangkat ke Jepun pada 18 Mei ini.”

“Besar harapan kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu khasnya untuk melihat mereka ini pulang membawa kejayaan sebaik tamat pengajian nanti,” tambah beliau.

Sumber: HARIAN METRO