PEKAN: Pengalaman tinggal di merata tempat termasuk rumah usang ihsan jiran tetangga menyebabkan Puan Noraini Abdullah, 45, rasa amat bersyukur menerima bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP).
Menurut ibu kepada dua anak ini, dia dan suami Encik Ahmad Ghazali, 57, hanya mampu menumpang di rumah jiran walaupun rumah yang diduduki sangat usang dan hanya bertahan sebagai tempat berteduh.
“Saya amat berbangga dan gembira hari ini kerana menerima rumah sendiri setelah lama menumpang di rumah lama hasil ihsan jiran yang tidak mengambil sebarang wang sewa.
“Saya juga ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana memberi rumah kepada saya dan juga kepada semua yang telah menolong dalam urusan untuk memperoleh rumah ini,” katanya.
Majlis penyerahan kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) serta bantuan peralatan rumah kepada penerima RRP bernilai RM2,000 sumbangan Kerajaan Negeri Pahang ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
Turut hadir Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli; Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan, Puan Nursafariza Ihsan serta Penolong Pegawai Pertanian, Encik Muhammad Hasnor Hasan.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa bersyukur serta tidak sabar untuk memulakan kehidupan di rumah tersebut bersama suami serta dua anak lelaki berusia 10 dan 8 tahun.
“Saya dan suami berniaga air kelapa di tepi jalan untuk menampung kehidupan seharian termasuk persekolahan anak-anak. Jadi pemberian Kerajaan Negeri ini amat kami hargai sekaligus menguatkan langkah seharian dalam mencari rezeki dan meneruskan kehidupan dengan lebih yakin dan berani,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA