HIPERTENSI atau lebih dikenali sebagai tekanan darah tinggi merupakan salah satu risiko tinggi kepada beberapa penyakit serius.
Bacaan tekanan darah yang tidak normal seperti 140mmHg atau lebih manakala bacaan diastolik pula 90 mmHg atau lebih adalah petanda seseorang itu mengalami darah tinggi.
Bagaimanapun, yang lebih merisaukan lagi tekanan darah tinggi ini boleh berlaku tanpa petanda, oleh itu anda dinasihati kerap membuat pemeriksaan tekanan darah agar dapat mengelakkan dari komplikasinya.
Jika tekanan darah tidak dikawal, kebarangkalian menyebabkan anda mengalami beberapa komplikasi itu sangat tinggi. Antara komplikasi tersebut termasuklah;
1. Serangan jantung atau strok
Secara umumnya, dua penyakit ini boleh dikatakan komplikasi utama yang bakal terjadi kepada mereka yang mengalami tekanan darah tinggi sehingga menyebabkan pengerasan dan penebalan arteri (aterosklerosis).
Jika tidak dikawal tekanan darah tinggi ini juga dikatakan sebagai ‘pembunuh senyap’ bagi serangan jantung dan strok.
2. Sindrom metabolik
Gangguan yang meliputi peningkatan tekanan darah tinggi, penumpukan lemak di perut serta kenaikan kadar gula dalam darah serta kolestrol adalah sindrom metabolik.
Antara gejala yang bakal dialami mereka ini adalah sakit kepala, sesak nafas, kerap membuang air kecil dan tubuh mudah rasa letih.
Kebanyakkan doktor menasihatkan jika anda mempunyai simptom awal seperti ini segeralah mendapat rawatan di mana-mana klinik atau hospital berhampiran kerana takut keadaan semakin teruk.
3. Demensia
Tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan komplikasi kepada penyakit demensia iaitu mengganggu fungsi otak secara progresif.
Jika aliran darah seseorang ke otak menyempit atau tersumbat ia mempunyai risiko tinggi untuk mengalami demensia.
Demensia vaskular pula berbentuk demensia biasa yang menyebabkan aliran darah lemah ke otak dan sering kali terjadi kepada mereka yang lanjut usia.
4. Aneurisma
Seterusnya, aneurisma merupakan penyakit yang ditandai dengan penggelembungan yang abnormal pada dinding pembuluh darah.
Simptom aneurisma sukar untuk dikenal pasti kerana ia lebih kepada sakit biasa seperti sakit kepala, sakit leher yang berterusan, loya, muntah, sensitif kepada cahaya dan banyak lagi.
Risiko tinggi jika mempunyai tekanan darah tinggi adalah mendapat pendarahan dalam otak sehinggakan mengalami aneurisma dan apabila ia semakin membesar dan pecah kebarangkalian tinggi boleh membawa kepada maut.
5. Kerosakan tulang
Masalah tulang lemah dan otot kejang kerap sering kali berlaku pada mereka yang mengalami tekanan darah tinggi. Keadaan ini menerangkan mengenai beberapa organ dalam tubuh badan mengalami kehilangan fungsinya.
Pada tahap awal, komplikasi ini mungkin tidak akan disedari akan tetapi jika tidak mengawalnya dengan baik lambat laun ia boleh menyebabkan anda terkena osteoporosis.
Sumber: mStar