Berubah atau angkat kaki… Kenali 5 tanda ‘toxic relationship’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASANGAN mana mahu hubungan yang dibina berakhir dengan perpisahan, bukan? Tetapi ada juga yang sanggup terus bertahan meskipun sedar ikatan itu tidak sihat atau pun ‘toxic relationship’.

Situasi ini terjadi apabila tiada persefahaman, rasa hormat selain tiada lagi kepercayaan terhadap pasangan yang membuatkan hubungan hambar dan sering berlaku pertengkaran.

Lebih teruk, ‘toxic relationship’ boleh membuatkan pasangan mengalami gangguan mental seperti kemurungan, keresahan dan sebagainya.

Berhadapan dengan situasi ini memang boleh menyebabkan emosi terganggu selagi tidak mencari jalan keluar atau penyelesaian terbaik.

Berikut adalah tanda-tanda hubungan anda berada dalam fasa ‘toxic relationship’.

1. Kasar terhadap pasangan

Jika pasangan anda mula bersikap kasar sama ada dari segi fizikal atau mental – ia menandakan hubungan anda sudah tidak sihat. Paling jelas, punca kemarahan pasangan juga disebabkan perkara kecil sehingga boleh menyebabkan pergaduhan besar.

2. Cemburu buta

Orang kata, cemburu tanda sayang tetapi jika sudah keterlaluan dan tidak bertempat, ia akan memberi kesan buruk dalam sesuatu hubungan.

Mana tidaknya, pasangan akan mula menunjukkan sikap negatif, rasa curiga, terancam, hilang kepercayaan – yang boleh membuatkan anda tawar hati dengan pasangan.

3. Dikongkong

Tidak salah mengambil berat perihal suami atau isteri anda tentang aktiviti harian bagi membolehkan anda memahami dengan lebih baik kehidupan pasangan.

Tapi sekiranya sampai perkara tidak penting perlu dijelaskan dengan terperinci serta mengawal semua aktiviti anda, ia memberi petanda buruk kepada hubungan anda. Sikap suka mengongkong ini adalah tanda si dia mula obses dan tidak percaya kepada anda.

4. Komunikasi

Jika pasangan mula menolak untuk berkomunikasi ketika berdepan dengan masalah, ia petanda hubungan anda dalam fasa bahaya.

Apatah lagi jika pasangan sengaja menunjukkan sisi keras kepala dan ego yang tinggi. Pendapat anda sebagai suami atau isteri tidak lagi relevan kepadanya.

Si dia sering merasakan pendapat dan keputusannya yang paling tepat dan jika dibantah, pergaduhan besar akan tercetus.

5. Menghina

Jika pasangan mula mengeluarkan kata-kata menghina atau merendah-rendahkan anda, ia menunjukkan si dia tidak lagi ada perasaan hormat kepada anda.

Setiap kata-katanya pasti akan mengguris perasaan anda – golongan ini egonya tinggi dan sukar diubah sekiranya tiada lagi rasa cinta dalam diri mereka.

Sumber: mStar