Betulkah Puasa Enam Syawal Perlu Dilakukan Berturut-Turut?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kita sudah memasuki hari keempat dalam bulan Syawal. Pasti ramai di kalangan kita yang sudah memulakan puasa sunat enam Syawal. Ada juga yang sudah hampir selesai puasa sunat tersebut.

Kita mengetahui bahawa ganjaran yang dikurniakanNya terhadap mereka yang melakukan puasa sunat enam Syawal ini adalah seperti telah melakukan puasa selama setahun.

Besarnya ganjaran yang telah Allah berikan kepada umat Nabi Muhammad SAW yang tidak ada pada umat nabi-nabi sebelumnya.

Maksud: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1164)

Namun, dalam perlaksanaannya, mungkin ramai yang terkeliru sama ada ia afdal dilakukan secara berturut-turut selama enam hari atau boleh juga dilakukan selang-seli, asalkan cukup dalam bulan Syawal.

Menurut pendapat jumhur ulama seperti Imam Nawawi dan dari kalangan Mazhab Syafi’e, sunnah untuk melakukannya secara berturut-turut. Hal ini adalah kepada dalil yang menyuruh supaya bersegera melakukan kebaikan.

Mafhum: “Dan aku segera datang kepadaMu, wahai tuhanku, supaya Engkau reda akan daku.” (Surah Taha, 20:84)

Imam Nawawi RA berkata – “Menurut ulama Syafi’iyyah, puasa enam hari di bulan Syawal disunnahkan berdasarkan hadis di atas. Disunnahkan melakukannya secara berturut-turut di awal Syawal. Jika tidak berturut-turut atau tidak dilakukan di awal Syawal, maka ia dibolehkan juga. Seperti itu, sudah diibaratkan melakukan puasa Syawal sesuai yang dianjurkan dalam hadis. Sunnah ini tidak diperselisihi di antara ulama Syafi’e. Begitu juga, ia menjadi pendapat Imam Ahmad dan Daud.” (Al-Majmu’, 6:276)

Tuntasnya, dapat kita faham di sini bahawa sunat hukumnya mengawalkan puasa Syawal dan dilakukan secara berturut-turut.

Ia bagi mengelakkan berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini seperti tiba-tiba jatuh sakit dan sebagainya.

Namun, tidak mengapa jika ia tidak dilakukan secara berturut. Anda boleh melakukannya mengikut kemampuan sendiri.

Sumber:TZKRH.COM