‘Biar SPRM Siasat, Jangan Buat Spekulasi’ – MB

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap penahanan seorang pengarah yayasan, dua pengarah syarikat dan seorang penjawat awam di Terengganu sejak kelmarin.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kes itu masih dalam siasatan awal pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kerajaan negeri memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat. Biarlah pihak berkuasa menjalankan kerja mereka, sebarang spekulasi dibimbangi akan menimbulkan fitnah.

“Ia juga boleh mengakibatkan proses siasatan terganggu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebentar tadi.

Semalam, pengarah yayasan terbabit ditahan di rumahnya pada jam 4.30 petang.

Lelaki berusia 55 tahun itu kemudiannya direman selama tujuh hari kerana disyaki menerima suapan berkaitan usahasama bagi projek pengeluaran pelitup muka bernilai RM9 juta

Difahamkan, pengarah itu didakwa menerima suapan daripada pengarah syarikat lain sebagai balasan mencadangkan pelaburan usahasama.

Manakala, penjawat awam berusia 59 tahun dan dua pengarah syarikat berumur 49 serta 51 tahun pula telah ditahan serta direman lebih awal iaitu pada 22 Mac berhubung siasatan kes sama.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa.

Sumber: TRDI News