Selalunya kita mendengar takbir dilaungkan apabila tibanya hari raya Aidilfitri dan juga Aidiladha. Ia adalah sebagai salah satu bentuk pengagungan kepada Allah dan merupakan zikir munajat yang boleh diamalkan bagi umat Islam.
Memperbanyakkan takbir adalah digalakkan bukan sahaja tibanya hari raya tetapi juga boleh dibaca untuk menambahkan kesyukuran dan keagungan kepada Allah.
Hukum melaungkan takbir pada hari raya Aidiladha adalah sunnah. Hal ini ada disyariatkan melalui firman Allah yang bermaksud:
Mafhum: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah, 2:185)
Apabila dilihat, terdapat perbezaan masa untuk laungan takbir ini di antara Aidilfitri dan Aidiladha, iaitu;
- Waktu takbir Aidilfitri ialah selepas terbenamnya matahari pada malam raya sehingga selepas solat Hari Raya Aidilfitri.
- Bagi waktu takbir Aidiladha pula adalah panjang sedikit, iaitu bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada hari Tasyriq yang ketiga (bermula waktu Subuh 9 Zulhijjah sehingga waktu Asar 13 Zulhijjah).
- Hal ini adalah berbeza juga dengan mereka yang menunaikan haji. Mereka disunatkan untuk bertakbir pada waktu bermula gelincirnya matahari iaitu masuknya waktu Zuhur pada 10 Zuhijjah sehingga waktu Subuh 13 Zulhijjah.
- Walau bagaimanapun, buat mereka yang telah selesai bertahallul, mereka boleh bertakbir bermula 10 Zulhijjah sehingga waktu Asar 13 Zulhijjah, sama seperti kita di sini.
Imam Nawawi berkata – “Untuk selain orang yang berhaji, mereka bertakbir sebagaimana jemaah Haji, iaitu selepas Zuhur di hari Aidiladha sehingga Subuh hari akhir Tasyriq. Ia adalah pendapat pertama dan pendapat yang terkuat di zaman Syafi’e.
Ada pendapat kedua yang berkata takbir dimulai pada waktu Subuh d hari Arafah dan berakhir setelah Asar di hari Tasyriq yang ketiga. Pendapat terakhir pula adalah takbir dimulai pada waktu Subuh di hari Arafah dan berakhir setelah Asar di hari Tasyriq yang berakhir.” (Raudhatul Thalibin, 1:328)
Justeru, jangan pelik jika mendengar takbir bermula hari Arafah sedangkan hari raya Aidiladha belum lagi bermula. Hal ini kerana, sunat hukumnya bertakbir pada hari ini sehingga hari akhir Tasyriq.
Maksud: “Daripada Ali dan Ammar RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW bertakbir pada hari Arafah selepas solat Subuh dan menghentikannya selepas solat Asar pada hari Tasyriq yang akhir.” (Hadis Riwayat Al-Hakim, no. 1111)
Sumber: TZKRH.COM