Dungun – Kawasan pantai Paka, di sini, semakin terhakis akibat fenomena air pasang besar serta kehadiran ombak Monsun Timur Laut.
Hakisan sepanjang kira-kira dua kilometer itu menimbulkan kebimbangan 10 keluarga yang tinggal di situ akan keselamatan mereka.
Zainalwati Samad, 58, berkata dia bimbang keselamatan keluarga selagi fenomena air pasang besar dan musim tengkujuh belum berakhir.
Menurutnya, projek pembinaan benteng pemecah ombak yang dibina tidak jauh dari situ dipercayai menyebabkan ombak berganjak dan membadai ke kawasan penempatan penduduk.
“Paling bimbang ketika ombak membadai waktu malam. Jika ombak kuat sedikit lagi, mungkin rumah saya akan menyembah bumi.
“Kami berterima kasih kepada pihak berwajib yang berusaha meletakkan guni pasir bagi mengelak hakisan terus merebak, namun keadaan itu tidak mampu bertahan lama,” katanya.
Pemilik inap desa, Hasri Hashim berkata, inap desa miliknya hampir sekali lagi musnah akibat kehadiran ombak.
Menurutnya, kejadian pada tahun lalu menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM200,000 akibat enam daripada 11 unit inap desa miliknya rosak.
“Saya telah menghabiskan banyak duit untuk kerja-kerja membaik pulih dan menutup perniagaan buat seketika.
“Saya segera membaik pulih inap desa tersebut supaya dapat beroperasi semula bagi menampung kerugian, namun hakisan tersebut berlaku lagi selepas lima bulan beroperasi,” katanya.
Sebagai langkah keselamatan dan mengelakkan risiko kepada pelanggan, dia terpaksa menutup perniagaan buat sementara waktu.
Katanya, dia akan mengalami kerugian sekali lagi jika ombak terus membadai dan tidak tahu di mana untuk mengadu serta mencari peruntukan untuk membaikinya semula.
Fenomena air pasang besar dijangka berakhir pada Sabtu ini dengan ketinggian paras air sehingga 3.7 meter.
Sumber: HARIAN METRO