KOTA BHARU – Kerajaan negeri memperuntukkan RM49 juta untuk pembangunan lapan loji mini serta membaik pulih sistem proses rawatan air bagi menyelesaikan masalah air secara berperingkat di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata, kos keseluruhan pembangunan lapan lojimini termasuk membaik pulih sistem proses rawatan air itu dibiayai menerusi pinjaman oleh kerajaan negeri kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Katanya, antara loji berkenaan adalah di Teluk Mesira, Ketereh, Jelawat, Wakaf Bharu, Kadok, Meranti, Kedai Buloh, dan Telong serta membaik pulih sistem proses rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) di Ketereh dan LRA Perol.
“Saya juga berharap dengan pembangunan loji mini ini akan dapat menambah jumlah akaun pengguna iaitu antara 300,000 hingga 350,000 berbanding 260,000 akaun sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media Air Kelantan Sdn Bhd, malam tadi.
Mengulas lanjut Azami berkata, selain itu projek di bawah peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) membabitkan pembinaan LRA Kampung Telok yang menelan belanja RM48.3 juta dengan kapasiti pengeluaran air terawat 30 juta liter sehari dan dijadualkan beroperasi pada tahun ini.
“KASA juga membiayai Program Pengurangan NRW (Air Tidak Berhasil) yang membabitkan penukaran meter, pembaikian tangki dan pembangunan ‘Geografical Information System’ (GIS).
“Pada masa sama, kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk mendapatkan geran daripada KASA bagi membangunkan Takungan Air Pinggiran Sungai atau TAPS di Labok, Machang.
“Kapasiti TAPS ini adalah 500 juta liter sehari dan ia adalah sumber air mentah untuk loji-loji di kawasan utara lembangan Sungai Kelantan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azami berkata, bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, AKSB juga membangunkan satu aplikasi yang dikenali dengan MyAKSB di mana pengguna boleh menyemak bil, bayaran, membuat aduan serta makluman gangguan.
Sumber: HARIAN METRO