Rantau Panjang: Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan tindakan penyeludup membina saluran minyak melalui dasar sungai untuk menyalurkan petrol di pangkalan haram Kertas, Kampung Gual To’Deh, di sini, semalam.
Pihak berkuasa turut merampas petrol, peralatan penyeludupan serta sebuah kereta dengan nilai keseluruhan RM15,522.50 sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, anggota bertugas terserempak sebuah Proton Waja ke arah pangkalan dalam keadaan mencurigakan sebelum mendekatinya.
Katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, pihaknya meminta pemandu lelaki berusia 40-an mengemukakan dokumen pengenalan diri selain membuat pemeriksaan ke atas badan namun tidak menemui sebarang barangan salah.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di dalam kereta menemui dua tong berwarna putih disyaki berisi petrol. Selain itu, anggota turut menemui enjin pam lengkap dengan getah paip menuju ke sebuah gelung konkrit.
“Hasil pemeriksaan di dalam gelung konkrit pula terdapat satu lagi enjin pam yang dipasang dengan batang paip polyvinyl chloride (PVC) menghala ke sungai. Pemeriksaan mendapati PVC dipasang sepanjang 300 meter merentasi Sungai Golok disyaki dijadikan saluran menyeludup petrol ke tebing sungai negara jiran.
“Malah, terdapat juga besi pada dasar sungai yang mana suspek mengakui ia bertujuan menghalang batang PVC daripada pecah jika aliran air sungai deras,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nor Azizan berkata, suspek yang tinggal di Tumpat itu ditahan manakala minyak serta peralatan penyeludupan dirampas dan dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Soal siasat yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia menjalankan aktiviti berkenaan sejak November tahun lalu.
“Dia mengakui membina sendiri saluran berkenaan hasil bertanya cara pembuatan dengan mereka yang pakar.
“Tong yang tersedia di sebelah negara jiran dipercayai boleh menerima sehingga 1,000 liter petrol. Suspek memberitahu bahawa permintaan di Thailand hampir setiap hari, namun dia hanya menjalankan kegiatan ini jika suasana dilihat bebas daripada penguat kuasa.
“Suspek disyaki mendapatkan bekalan petrol di stesen minyak berdekatan sebelum membawanya ke lokasi ini yang agak tertutup dari jalan utama,” katanya.
Menurutnya, penemuan kes itu adalah kejayaan besar namun pihaknya akan terus mengenal pasti modus operandi terbaru golongan penyeludup agar jenayah rentas sempadan dapat terus dikekang.
Sumber: My Metro