Bolehkah Kanak-Kanak Menjadi Imam Jika Tiada Lelaki Dewasa Di Rumah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Dahulu, semua umat Islam baik lelaki atau perempuan dibolehkan menunaikan solat secara berjemaah di masjid atau di surau. Namun setelah Covid-19 melanda negara, melaksanakan solat di masjid atau di surau telah dibataskan demi memutuskan rantaian Covid-19.

Kita boleh lihat kebanyakan keluarga yang beragama Islam mula melaksanakan solat secara berjemaah di rumah. Ibu bapa secara perlahan-lahan mula mendidik anak-anak mereka untuk solat berjemaah di rumah.

Namun, terdapat juga ibu bapa yang mula mengajar anak-anak mereka menjadi iman. Persoalannya adakah kanak-kanak dibolehkan menjadi imam ketika solat?

Dalam hal ini, ulama berpendapat bahawa sah solatnya jika kanak-kanak tersebut sudah mumayyiz, iaitu sudah boleh membezakan perkara yang baik dan buruk. Kanak-kanak tersebut juga perlu tahu syarat sah solat serta boleh membaca bacaan dalam solat dengan betul terutamanya surah Al-Fatihah.

Imam Nawawi berkata – “Apabila kanak-kanak sudah berakal, mereka layak menjadi ahli solat, maka sah solatnya dan turut sah menjadi imam. Kanak-kanak mumayyiz yang sah solatnya adalah apabila telah sampai tahap kemampuan untuk berfikir mana yang terbaik dan apabila sampai had umur tujuh tahun.

“Adapun, waktu tamyiz (mampu membeza baik dan buruk) tidak sama bagi setiap kanak-kanak sama ada mencapai umut tujuh tahun atau sebelumnya.” (Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab, 4/284)

Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut perlu dititikberatkan akan kebersihan anggota yang terkena najis kencing jika kanak-kanak itu masih belum berkhatan (quluf).

Namun, adalah lebih baik untuk memilih kanak-kanak yang telah berkhatan menjadi imam.

Kesimpulannya, kanak-kanak yang telah mumayyiz boleh menjadi imam serta sah solatnya dan makmum.

Sumber: MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN