Bolehkah Makmum Wanita Menyebut ‘Amiin’ Dengan Suara Yang Kuat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA yang menyebut – “Apabila imam mengucapkan ‘amiin’, maka ucapkanlah ‘amiin’. Kerana barangsiapa yang ucapan amiinnya bersamaan dengan amiinnya malaikat, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat An-Nasai, no. 928)

Melalui dalil ini, dapat kita faham bahawa ucapan ‘amiin’ adalah sunat. Ia sunat disebut oleh makmum usai sahaja imam menyebut ‘amiin.’

Selalunya, dalam solat berjemaah, makmum lelaki akan mengeraskan suara ketika menyebut ‘amiin.’ Jumhur ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat (dibaca selepas imam) kerana pada waktu ini, para malaikat yang mendengarnya juga turut mengaminkan bersama.

Adakah makmum perempuan juga dibolehkan untuk mengeraskan sebutan ‘amiin’ semasa solat berjemaah dengan imam lelaki atau imam perempuan?

Dalam hal ini, kita akan melihat kepada dua situasi;

1.Makmum Perempuan Yang Berimamkan Lelaki

Tidak disunatkan mengeraskan bacaan ‘amiin’ ketika ia menunaikan solat berjemaah di tempat awam dan wujud ajnabi yang tidak dikenali (bukan dari kalangan ahli keluarga mereka).

Jumhur ulama berpendapat demikian bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan menghilangkan kekhusyukan jemaah lain.

Hal ini juga disebabkan hukum asal bagi perempuan adalah dengan mengecilkan suaranya dalam solat terutamanya jika dikhuatiri menimbulkan fitnah.

Ibnu Hajar menyebut – “Wanita tidak diperkenankan mengucapkan ‘subhanallah’ ketika ingin mengingatkan imam. Wanita diperintahkan untuk memperlahankan suaranya dalam solat. Hal ini kerana dibimbangi boleh menimbulkan godaan.” (Fath Al-Bari, 3:77)

2. Makmum Perempuan Yang Berimamkan Perempuan

Adapun, jika wanita itu menunaikan solat berjemaah bersama dengan imam perempuan atau imam lelaki yang mahram dengannya (seperti adik beradik, bapa atau suami), maka dia boleh mengeraskan bacaannya. Sama juga jika wanita tersebut menunaikan solat secara bersendirian.

Hal ini adalah berdasarkan pendapat daripada kebanyakan ulama Syafi’e yang telah dinukilkan oleh Imam Nawawi.

Kesimpulannya, dibolehkan untuk wanita mengeraskan sebutan ‘amiin’ jika terhindarnya daripada fitnah seperti menunaikan solat berjemaah bersama ahli keluarga atau bersendirian.

Namun, jika menunaikan solat di tempat umum seperti masjid, maka ia adalah tidak digalakkan.

Sumber: TZKRH.COM