Khusyuk merupakan perkara yang perlu dicapai oleh setiap umat Islam ketika menunaikan solat. Khusyuk bermaksud seseorang itu telah menghadirkan sepenuh hatinya ke dalam solat tersebut.
Khusyuk di dalam solat, ia diibaratkan anda berjaya menghayati solat tersebut dengan sepenuh hati. Kita sering melihat pelbagai cara yang telah dikongsikan untuk membantu kita mencapai khusyuk dalam solat.
Namun, antara yang disebut adalah dengan memejamkan mata ketika menunaikan solat. Persoalannya adakah perbuatan tersebut dibenarkan?
Menurut perbahasan ulama, perbuatan memejam mata semasa menunaikan solat sebenarnya dimakruhkan.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang dari kamu berdiri di dalam solatnya, maka janganlah kamu memejam mata.” (Hadis Riwayat Thabrani, 1/37)
Ini kerana, pandangan mata sepatutnya dihalakan ke arah tempat sujud. Ia adalah perbuatan paling utama yang boleh membantu seseorang menggapai sujud.
Maksud: “Kemudian, mereka beralih semula ke arah solat mereka (iaitu solat dengan tekun) dan melihat ke arah hadapan mereka. Dan mereka menggalakkan untuk salah seorang mereka tidak melepasi pandangan mereka dari tempat sujud mereka.” (Rujuk Fath Al-Bari, Ibnu Hajar 2/272)
Kesimpulannya, ulama berpendapat bahawa dimakruhkan jika memejam mata atau tidak memandang ke arah tempat sujud ketika menunaikan solat.
Walau bagaimanapun, sebahagian ulama berbeza pendapat dengan menyebut bahawa, jika perbuatan memejam mata boleh membantu menambah kekhusyukan kepadanya, maka ia dibolehkan.
Sumber: TZKRH.COM & Mufti Wilayah Persekutuan