Ibu bapa merupakan tanggungjawab anak-anak. Berdosa andai kata anak-anak dengan sengaja mengabaikan ibu bapa. Situasi zaman sekarang pula sungguh berbeza. Dengan desakan hidup, anak-anak yang ingin menjaga ibu bapa berada dalam dilema adakah perlu meneruskan menjaga mereka atau mencari wang perbelanjaan keluarga? Justeru antara jalan lainy adalah dengan menempatkan ibu bapa di rumah orang tua. Adakah sebenarnya dibolehkan menempatkan ibu bapa di rumah orang tua?
Berdasarkan Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan, bahawa ianya adalah harus dan dibolehkan jika sekiranya ibu bapa selesa dan suka untuk pergi ke Rumah Orang Tua. Begitu juga jika layanan yang diberikan adalah baik dan tiada unsur penganiayaan terhadap mereka. Namun ia hendaklah berdasarkan perkara berikut:
- Hendaklah mendapat persetujuan daripada kedua ibu bapa dengan kesukaan dan kerelaannya.
- Tempat yang dikhaskan untuk kedua ibubapa mestilah begitu selesa dan juga menenangkan perasaannya.
- Makan minum yang disediakan hendaklah mencukupi dan bersesuaian dengan seleranya. Begitu juga penjagaan kesihatannya.
- Wujud layanan yang baik dan memuaskan dari pihak penempatan Rumah Orang Tua terhadap ibubapa.
- Sifat Rumah Orang Tua mestilah mesra kepada ibubapa.
- Adanya privacy serta penjagaan aurat yang baik.
- Semua keperluan daripada orang tua mencukupi termasuklah disediakan tempat ibadat yang selesa.
- Adanya tempat pengajaran dalam menambahkan ilmu.
- Para anak sentiasa menziarahi dan menyantuni orang tua dengan kerap.
- Semua tanggungan akan diselesaikan oleh anak-anak jika keadaan orang tua tidak mampu.
- Mempunyai khidmat rawatan kesihatan yang baik dan mesra kepada orang tua.
- Jika terdapat keperluan untuk menempatkan kedua ibubapa di Rumah Orang Tua dengan sebab terpaksa bermusafir dan tiada orang yang dapat mengendalikannya, maka ketika itu sebahagian ulama’ berfatwa adalah harus dengan syarat ibubapa tersebut menyukainya.
Bagaimana jika ia tidak mendapat persetujuan ibu bapa?
Jika kedua orang tua tidak redha dan tidak menyukai akan tindakan menghantar mereka ke Rumah Orang Tua, bahkan berlaku penganiayaan ke atas mereka, maka hukumnya adalah haram dan tidak dibenarkan sama sekali. Apatah lagi jika anak hanya ingin melepaskan tangan dan tanggungjawab tanpa menziarahi serta memberi nafkah kepada orang tuanya. Hal ini adalah berdosa apabila perasaan orang tua tidak dijaga.
Begitu juga sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”
Riwayat al-Hakim (7263) dan al-Munziri (3/302)
Kesimpulannya, bincanglah sebaik-baiknya dengan ibu bapa. Dapatkan persetujuan yang baik secara harmoni dan berdamailah akan mana-mana keputusan setelah dibincangkan.
Rujukan:
Bayan Linnas Siri Ke-127 : Hukum Menempatkan Ibubapa Di Rumah Orang Tua