Hutang sama ada sedikit atau banyak, ia perlu diselesaikan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Kita melihat betapa besarnya perihal hutang sehingga ia merupakan antara ayat yang paling panjang telah diceritakan menerusi kalam Allah dalam surah Al-Baqarah.
Bahkan, antara ayat yang sinonim dan sering kita dengar mengenai orang yang berhutang adalah rohnya akan tergantung sekiranya tidak dilangsaikan.
Dalam berhutang, pastinya wujud beberapa perjanjian yang telah dipersetujui antara pemiutang dan penghutang seperti tempoh bayaran dan sebagainya.
Ia adalah untuk memudahkan si penghutang melunaskan wang yang telah dipinjam agar tidak berlaku juga kekeliruan atau permasalahan di antara kedua belah pihak.
Namun, adakalanya seseorang itu sudah mampu untuk membayar hutang, tetapi memilih untuk menunda pembayaran tersebut, sama ada disebabkan ingin menunggu tempoh masa sampai atau sengaja melewat-lewatkannya.
Jadi, apakah hukum perbuatan ini kepada si penghutang? Adakah boleh untuk menunda-nunda pembayaran hutang?
Jumhur ulama menyebut bahawa hukum melambat atau menangguh pembayaran hutang bagi mereka yang berkemampuan adalah haram.
Hal ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda;
Maksud: “Menangguh pembayaran (hutang) bagi orang yang mampu adalah kezaliman. Jika salah seorang dari kamu memindahkan hutang itu pada orang yang kaya, maka terimalah ia (pemindahan hutang).” (HR Bukhari, no. 2287)
Lebih-lebih lagi jika menggunakan wang untuk pembayaran hutang ke arah yang boros dan tidak terkawal sedangkan hak ke atas manusia belum lagi dilunaskan, maka ia adalah perbuatan yang dilarang.
Adapun, jika sudah termaktub dalam perjanjian mengenai pembayaran hutang sama ada dari segi jumlah atau tempohnya, maka boleh diikuti perjanjian tersebut atau berbincang untuk melunasinya segera.
Sumber: TZKRH.COM