Perempuan yang berada dalam keadaan hadas besar seperti sedang haid dan nifas, pasti wujud banyak kekangan yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
Antara yang sering menjadi perhatian ialah adakah dibolehkan perempuan yang sedang dalam keadaan ini menyentuh Al-Quran.
1.Tidak Boleh Menyentuh Secara Langsug Dalam Keadaan Tidak Suci
Menurut pendapat yang telah dikemukakan oleh jumhur ulama, tidak boleh menyentuh Al-Quran dalam keadaan tidak suci. Hal ini bukan sahaja termasuk dalam larangan buat mereka yang sedang dalam keadaan haid dan nifas, namun termasuk juga dengan mereka yang tiada wuduk atau hadas kecil.
Mafhum: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Surah Al-Waqiah, 56:79)
Tambah, jumhur ulama seperti Ibn Qudamah berkata, hanya orang yang berada dalam keadaan suci sahaja boleh menyentuh mushaf Al-Quran. Adapun, yang tiada wuduk dan bukan dalam keadaan suci, maka hukumnya adalah dilarang.
2.Boleh Menyentuh Mushaf Al-Quran Dengan Berlapik
Menurut penjelasan lain lagi seperti yang dinyatakan melalui al-Mawsu’ah al-Fiqhiyah 2/13965 – boleh menyentuh Al-Quran dalam keadaan berlapik.
Sebagai contoh, anda memakai sarung tangan atau mengangkat mushaf tersebut untuk mengalihkannya ke tempat yang lain secara berlapik, maka ia adalah dibolehkan.
Hal ini adalah disebabkan oleh perbuatan tersebut yang tidak dilakukan secara langsung – dalam erti kata lain, bukan disentuh dengan kulit tetapi menggunakan bantuan alatan lain untuk memegangnya.
Buat para penghafaz Al-Quran mahupun mereka yang mengajar atau belajar Al-Quran, maka boleh digunakan cara ini untuk memegang Al-Quran.
Walaupun jumhur ulama berbeza pendapat akan golongan ini, namun melihat pandangan umum daripada Mufti Wilayah yang menyebut bahawa, mushaf yang suci ini perlu dikekalkan kesuciannya dan dijaga kemuliaannya.
Maka, adalah lebih baik memegang Al-Quran ini secara berlapik atau menggunakan inisiatif lain seperti memegang Quran tafsir ataupun dalam bentuk digital.
3.Boleh Menyentuh Mushaf Tasir Atau Terjemahan Tanpa Lapik
Berkenaan dengan mushaf tafsir pula, jumhur ulama mengatakan bahawa dibolehkan untuk menyentuh Al-Quran tafsir tersebut kerana ia sudah bercampur dengan ayat-ayat lain. Hukum ini juga terpakai pada kitab Al-Quran yang telah diterjemahkan maksudnya ke dalam bahasa lain.
Imam Nawawi RA mengatakan bahawa – “Jika kitab tafsir tersebut lebih banyak kajian tafsirnya daripada ayat Al-Quran sebagaimana umumnya kitab tafsir sebegitu, maka di sini ada beberapa pendapat ulama. Namun, yang lebih tepat ialah kitab tafsir itu tidak mengapa disentuh kerana ia tidak disebut sebagai mushaf.” (Al-Majmu’, Yahya bin Syarf An-Nawawi, 2/69)
4.Boleh Memegang Mushaf Digital
Hal itu juga adalah sama dengan seseorang yang membuka al-Quran di laman digital seperti melalui aplikasi telefon dan sebagainya. Maka, ia boleh dipegang kerana ia adalah bukan mushaf.
Tuntasnya, mereka yang berada dalam keadaan hadas besar, dibolehkan memegang mushaf Al-Quran dengan syarat ia dilakukan dalam keadaan berlapik.
Sumber: TZKRH.COM