Bomba Kelantan Terima Tujuh Ekor Lembu Korban Sumbangan Pertubuhan Kasih Neelofa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Dua ekor lembu ‘sado’ baka ‘Charolais’ adalah antara tujuh ekor lembu yang disumbangkan oleh Pertubuhan Kasih Neelofa kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Lebih 20 anggota bomba terpaksa ‘berkerja keras’ sebelum berjaya menumbangkan lembu tersebut yang dianggarkan seberat 700 kilogram (kg) hingga satu tan setiap seekor.

Pengerusinya, Noor Neelofa Mohd Noor berkata sebanyak 15 ekor lembu telah disumbangkan kepada pihak memerlukan termasuk di Perak, Kedah, Selangor dan Kelantan tahun ini.

“Untuk setiap ekor lembu kami anggarkan dapat dibahagikan kepada 100 penerima. Bagi lembu bersaiz besar seperti baka ‘Charolais’ dianggarkan dapat diagihkan kepada 500 penerima,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Perdana di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin.

Sementara itu, Zainal berkata kesemua daging korban akan diagihkan kepada golongan asnaf termasuk 150 keluarga anggota bomba yang memerlukan serta ahli keluarga anggota yang meninggal dunia.

Sumber: BERNAMA