Bomba Redah Banjir Bantu Pindah Jenazah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Krai: Bantuan bot pasukan bomba terpaksa digunakan untuk membawa jenazah lelaki meredah banjir berikutan jambatan di Kampung Sungai Pas Mengkebang, di sini, ditenggelami air, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan untuk mendapatkan bantuan pada 9.22 pagi.

Menurutnya, seramai tujuh anggota ditugaskan untuk menghantar pegawai perubatan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) ke rumah Allahyarham Samsuddin Omar, 63, yang meninggal dunia akibat sakit tua.

“Pasukan bomba membantu membawa pegawai PKD menyeberang jambatan yang sudah dilimpahi air ke rumah arwah dengan menaiki bot untuk mengambil sampel ujian Covid-19.

“Bagaimanapun selepas dua jam, keputusan Covid-19 arwah didapati negatif dan anggota bomba membantu keluarga lelaki itu untuk memindahkan jenazah ke masjid yang terletak di kawasan selamat,” katanya.

Katanya, jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pas, di sini.

Sumber: My Metro