Jerantut: Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Tahan berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka karam dalam kejadian di Sungai Tembeling hari ini.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mereka bertiga dalam misi menghantar barang makanan sumbangan Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) Jerantut ke Kampung Orang Asli Aur.
Ketua Misi, Roslan Abu Kassim, 58, berkata beliau bersama adiknya Mizi Abu Kassim, 28, serta pemandu bot, Belawak Bajah, 30, dalam perjalanan untuk menghantar makanan kepada Orang Asli Kampung Aur.
Menurutnya, sebelum kejadian itu, mereka sudah menghantar makanan ke kampung Orang Asli Teresik dan Orang Asli Tabing.
“Untuk sampai ke Kampung Aur itu kami terpaksa melalui beberapa jeram yang deras airnya termasuk jeram panjang yang begitu mencabar.
“Ketika di jeram panjang, arus air begitu kuat sehingga masuk ke dalam bot sebelum (bot) tenggelam. Kami terselamat selepas berjaya berenang ke tebing sungai,” katanya memaklumkan, ketika kejadian mereka semua memakai jaket keselamatan.
Katanya, mereka bertiga bersyukur kerana terselamat dan tidak menghadapi sebarang kecederaan dalam insiden itu.
Sumber: My Metro