SHAH ALAM: Anggota penyelamat sanggup berdepan risiko namun tetap mengutamakan keselamatan diri dalam usaha membantu mangsa banjir di Taman Seri Muda, di sini.
Meskipun tidak tahu objek apa di bawah air banjir yang dilalui seperti pagar, pili bomba, papan tanda atau pokok sepanjang laluan menuju ke rumah mangsa banjir di sekitar kawasan itu, anggota bomba gigih menjalankan tugas mereka.
Bagaimanapun, anggota bomba yang mengendalikan bot bagi menghantar bantuan makanan serta memindahkan mangsa sentiasa berhati-hati agar tiada perkara tidak diingini berlaku.
Bukan itu sahaja, mereka juga terpaksa melalui halangan seperti puluhan kenderaan yang ditenggelami air dan tersangkut serata tempat, perabot dan pokok kayu hanyut serta bot penyelamat lain yang berulang-alik.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata halangan itu antara risiko yang menyebabkan proses mengambil mangsa yang terperangkap atau menghantar makanan memakan masa yang agak lama.
“Itulah perkara yang kita alami, halangan yang tidak diduga di dalam air. Ini menyebabkan masa diambil agak lama di mana pergerakan ke lokasi mengambil masa lebih setengah jam ke sesuatu tempat.
“Ada yang mengambil masa sehingga 40 minit…kalau pergi balik ambil masa satu jam dan lebih,” katanya selepas menghantar bantuan makanan kepada mangsa yang terkandas di Taman Sri Muda, di sini, petang semalam.
Norazam berkata, risiko lain yang perlu ditanggung adalah apabila terlanggar sesuatu dalam air dan tidak dapat dipastikan, terutama waktu malam yang mengehadkan pandangan ketika membawa bot.
“Pada waktu malam, kita tidak nampak binatang berbahaya seperti ular atau lain-lain di dalam air tambahan pula tiada bekalan elektrik, hanya lampu yang dibawa setiap bot.
“Pada waktu malam juga, kita sukar mengukur kedalaman sesuatu tempat, jika apa-apa berlaku, kemungkinan penumpang boleh tercampak keluar dan bot boleh terbalik.
“Sepanjang tempoh operasi yang dilaksanakan setakat ini, Alhamdulillah selamat dan tidak mengalami apa-apa kemalangan dan kita sentiasa berharap ia tidak berlaku, ” katanya.
Mengulas mengenai keadaan paras air semasa pula katanya, beliau menjangkakan air akan mengambil masa dua hingga tiga hari lagi untuk surut.
“Ia juga bergantung kepada air yang masuk ke kawasan ini ataupun hujan. Jika hujan lebat, kemungkinan paras air kekal begini,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kebanyakan mangsa enggan berpindah termasuk warga asing serta mereka yang tidak mahu meninggalkan rumah.
“Mungkin hendak jaga harta benda dalam rumah itu. Bagaimanapun, kita tetap beri makan minum kepada mereka.
“Setiap kali kita hendak masuk ambil mangsa untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS), kita bawa sekali makanan seperti nasi, biskut, air, lampin pakai buang, air mineral untuk diberikan kepada mangsa yang ditemui sama ada di sepanjang laluan atau di rumah yang ditujui.
“Kami bergerak ulang-alik hantar makanan dan ambil mangsa banjir 24 jam tanpa henti di mana anggota akan bergilir-gilir lakukan tugasan pemindahan ini,” katanya.
Terdahulu, media dibawa menaiki bot untuk melihat sendiri keadaan semasa di kawasan berkenaan selain proses penghantaran makanan kepada mangsa yang enggan berpindah.
Selain menghantar makanan ke rumah, mangsa yang ditemui mengharungi air di sepanjang laluan juga diberikan makanan.
Tinjauan wartawan mendapati, masih ramai berada di kediaman masing-masing serta mengharungi air sekitar pekan Taman Seri Muda untuk mencari makanan.
Malah ketika bot tiba di kawasan flat, ada penduduk di tingkat atas menjerit ” makanan…makanan.”
Ketika berpatah balik pula, ada dua mangsa kanak-kanak turut dibawa keluar dari flat berkenaan menaiki bot.
Sumber: Berita Harian