Briged Asnaf MUIP Daerah Pekan Lancarkan Usaha Kesan Asnaf

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN – Usaha mewujudkan Briged Asnaf Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dilihat mampu membantu melancarkan lagi usaha mengesan golongan berkenaan di daerah ini.

Pengurus MUIP Cawangan Pekan, Ustaz Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, usaha yang dilakukan dari semasa ke semasa itu memerlukan langkah yang lebih progresif bagi memastikan golongan yang memerlukan menerima bantuan sewajarnya.

“Briged Asnaf MUIP ini terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) bersama-sama ahli jawatankuasa yang akan mengesan dan mengenalpasti keberadaan asnaf di kawasan masing-masing.

“Pemilihan Pengerusi JPKK sebagai Briged adalah tepat kerana mereka lebih faham dan selama ini turut menguruskan orang yang perlu bantuan, jadi ini adalah satu bentuk penyelarasan yang turut melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah dapat melancarkan lagi usaha membantu golongan asnaf di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada majlis perasmian pembukaan Taklimat Bantuan dan Briged Asnaf MUIP Daerah Pekan di Dewan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

Hadir merasmikan majlis, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan (Pembangunan), Puan Nursafariza Ihsan.

Pada majlis sama turut diadakan acara penyerahan replika kunci kepada lima orang penerima rumah bina baru sumbangan MUIP.

Dalam pada itu Ustaz Mohd Nasrul berkata, selain memperoleh maklumat asnaf melalui usaha pencarian, setiap Pengerusi yang berjaya mendapatkan asnaf yang layak menerima bantuan akan menerima insentif.

“Insentif ini sebagai pendokong usaha setiap briged dan ia juga amat penting bagi pihak MUIP memastikan tiada asnaf yang tertinggal dari mendapat bantuan yang sepatutnya.

“Kita berharap usaha yang dijalankan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Pekan ini akan melancarkan usaha mengesan asnaf selain turut berusaha mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan dengan bantuan yang bersesuaian,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini lebih 700 orang asnaf di daerah Pekan menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 hingga RM600 sebulan selain bantuan berbentuk baucar pembelian barangan keperluan di Pasaraya Darul Makmur (PDM) bernilai RM200 sebulan.

Sumber : PAHANG MEDIA