BSMM Berjaya Vaksinasi 12,000 Golongan Rentan Dan OKU

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Bulan Sabit Merah Malaysia (BBSM) sehingga kini telah memberi vaksin kepada 12,000 golongan rentan dan komuniti terpencil di seluruh negara melalui klinik bergerak milik persatuan itu.

Pengerusi BSMM, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, ia merupakan salah satu sokongan berterusan BSMM dalam usaha Malaysia memerangi Covid-19.

Selain kawasan bandar, pihaknya turut menyantuni masyarakat orang asli dan penduduk di luar bandar untuk memastikan mereka tidak terkecuali mendapat perlindungan kesihatan itu.

“Seperti hari ini, kami datang ke Terengganu bagi program  vaksin rumah ke rumah pesakit terlantar dan warga emas yang tidak boleh bergerak ke pusat vaksinasi.

“Esok, kita akan bergerak ke Pahang untuk vaksinasi penduduk di pendalaman termasuk orang asli.Selepas itu ke Johor dan Pulau Pinang untuk pastikan tidak ada golongan rentan dan oku yang tercicir dari program vaksinasi,” ujarnya.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah remaja terlantar, Muhammad Haris Mohd Hisham, 13, di Kampung Kijing di sini.

Tambahnya, BSMM juga berusaha mencari mereka termasuk pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah untuk divaksinasi.

“Kita usahakan vaksinasi mereka kerana mereka juga dalam masyarakat yang tidak dapat ke pusat vaksinasiatas kekangan pengenalan diri,” jelas Tunku.

Sumber: TRDI News