Buat saringan Covid-19 sebelum masuk Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Orang ramai yang mahu memasuki Terengganu selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan, diminta membuat ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, saranan itu bagi mengelak peningkatan kes Covid-19 di Terengganu terutama membabitkan varian Delta dan Beta.

Beliau berkata, orang ramai boleh melakukan ujian saringan Covid-19 itu di klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta sebelum memulakan perjalanan rentas negeri ke Terengganu, selain menggunakan kit ujian kendiri yang dibeli di farmasi.

“Saranan ini bukan mahu membebankan atau menyusahkan mana-mana pihak, tetapi demi kebaikan kita semua memandangkan virus itu masih ada dalam masyarakat kita.

“Kita faham warga Terengganu yang bekerja di luar sudah lama tidak bertemu dengan keluarga di kampung, tetapi aspek keselamatan tidak wajar dipandang remeh ketika kes masih tinggi.

“Gesaan ini sebagai langkah awal kerana kita tidak mahu mereka menjadi pembawa virus itu yang akan merisikokan ahli keluarga terutama warga emas,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, sebanyak 42 kes penularan varian Delta dan Beta dikesan di Terengganu iaitu 33 kes varian Delta dan sembilan varian Beta.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi populasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber: MY Metro