Buaya Tembaga Berjemur Dekat Kawasan Perumahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kehadiran seekor buaya tembaga sepanjang lebih tiga meter berjemur tepi tali air berhampiran perumahan Cenderawasih, di sini, menarik tumpuan orang ramai memenuhi kawasan berkenaan.

Tinjauan mendapati penduduk pelbagai kaum dan lapisan umur teruja dapat melihat reptilia itu dari jarak dekat sejak haiwan itu muncul kira-kira jam 4 petang, sebelum turun semula ke dalam air selepas tiga jam kemudian.

Seorang penduduk, Mohd Shahril Mohamad Anuar, 43, berkata kehadiran buaya di tali air berkenaan bukan perkara baharu, malah hampir setiap tahun penduduk dapat melihat reptilia terbabit muncul di kawasan berkenaan.

“Tahun ini sahaja, sudah tiga kali buaya muncul di tali air berkenaan, malah ada bersaiz lebih besar daripada kali ini. Biasanya haiwan ini muncul ketika air pasang atau musim banjir dan akan turun semula apabila air surut,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.

Walaupun buaya kerap muncul di tali air berkenaan, belum pernah berlaku kejadian tidak diingini kerana haiwan itu hanya timbul untuk berjemur dan penduduk juga tidak pernah mengganggu.

Seorang lagi penduduk, S.Chandra, 58, berkata kemungkinan buaya kerap timbul di tali air terbabit berikutan ada pihak yang membuang sisa makanan ke dalam sistem saliran itu sehingga menarik kehadiran reptilia berkenaan.

“Tali air ini bersambung dengan Sungai Kuantan sehingga ke Kampung Jawa yang mana terdapat pasar pagi di kawasan itu,” kata pekerja swasta terbabit.

Katanya, sebelum ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pernah meletakkan papan tanda peringatan bagi memastikan keselamatan penduduk, namun papan tanda berkenaan kini sudah hilang.

“Walaupun belum pernah berlaku kejadian tidak diingini, namun kebimbangan tetap ada terutamanya pada musim banjir kerana ada rumah terletak berhampiran tali air itu,” katanya.

Sementara itu, Lai King, 60, berkata dia melihat ramai berkumpul dekat tali air berkenaan dan sudah mengagak ada buaya muncul, lalu tidak melepaskan peluang untuk turut serta melihat reptilia terbabit.

“Sejak tinggal di sini, ini kali ketiga saya melihat buaya muncul di tali air ini, namun kali pertama melihat buaya bersaiz besar seperti ini dari jarak dekat,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN